Saban tahun kita membaca berita mengenai barangan tiruan dan pengguna. Barang tiruan dihasilkan apabila sesuatu barangan asli mendapat permintaan tinggi yang terdiri daripada pelbagai barangan pengguna. Contohnya seperti ubat, alat ganti, pakaian, aksesori lelaki dan wanita, makanan tambahan, alat elektrik dan pelbagai lagi. Barang yang ditiru tidak semestinya barang yang mahal dan berjenama sahaja. Ada juga barang murah yang sering digunakan pengguna setiap hari turut menjadi mangsa. Malah panadol yang sering digunakan pengguna untuk menghilangkan rasa sakit juga pernah ditiru.
Bahan asas bagi menghasilkan panadol palsu ini ialah tepung gandum. Panadol tiruan mempunyai bahagian tepi yang berbintik-bintik timbul. Selain itu panadol tiruan ini boleh dikenalpasti dengan menyemaknya menggunakan Dekod Meditag.
Terdapat pelbagai punca barangan tiruan banyak dikeluarkan dan dijual. Gejala ini berterusan kerana memiliki barangan berjenama terkenal menjadi idaman kebanyakan orang yang mengutamakan prestij. Namun begitu, bukan semua orang mampu memiliki barangan berjenama kerana harganya yang mahal. Untuk memenuhi tuntutan kemahuan tersebut, maka segelintir anggota masyarakat beralih kepada barangan tiruan. Mereka berpendapat mutu barangan ciplak itu tiada bezanya daripada kualiti barangan asli.
Harga yang murah juga menyebabkan permintaan menjadi tinggi. Ini disebabkan oleh rupa fizikalnya yang hampir sama dengan produk asal malah kualiti pula ada yang tinggi. Antara contoh yang ketara ialah jersi bola sepak yang dikategorikan dalam gred A, B, dan C. Harga barangan asli pula terlalu tinggi misalnya, jersi asli RM200 dan ke atas. Kos pembuatan barangan tiruan lebih murah malah modal jualannya juga rendah. Ini semua menggalakkan lagi perniagaan barangan tiruan. Kesedaran tentang harta intelek dan ilmu kepenggunaan yang rendah dalam kalangan masyarakat menyebabkan pengguna menganggap berjual beli barangan tiruan bukanlah satu kesalahan yang besar.
Pengguna yang bijak seharusnya tahu untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Banyak kesan negatif yang akan diperoleh daripada penggunaan barang tiruan. Tiada salahnya jika berbelanja barangan yang asli dengan harga yang sedikit mahal asalkan ianya mendatangkan kesan yang positif kepada diri pengguna. Kawalan perbelanjaan juga harus dititikberatkan agar pengguna tahu untuk membezakan antara keperluan dan keinginan.